Monday, 30 May 2011

Jika kita adalah mereka...



Ramai yang sedih dan ramai yang menangis. Namun sejauh mana tangisan kita mampu memberi sebuah kemerdekaan menggantikan episod-episod duka rakyat Palestin. Ramai yang meratap tidak kurang juga yang mengharap. Namun masih ramai muda-mudi kini lemas, hanyut dalam kehidupan duniawi penuh fantasi. Lantas, apakah usaha kita kini?

Saudara kita di Palestin menanti saban hari dengan penuh keyakinan akan hadirnya seorang pejuang yang bakal menjulang bendera Palestin bersama mereka. Kemenangan ini bukan hanya untuk mereka malah kemenangan ini milik kita bersama!

Wahai umat akhir zaman, layakkah kita bergelar umat Muhammad? Kita bersuka ria di alam sementara ini sedangkan mereka merintih hiba menangisi pemergian orang yang tersayang. Namun kebimbangan ini hanyalah sementara bagi mereka kerana kebahagiaan akan mereka kecapi kelak di akhirat yang kekal abadi.

Azan berkumandang tanda masuknya waktu Subuh menyeru sekalian hamba Allah untuk bangun beribadah kepadaNya. Pagi kita sering dihiasi dengan ketenangan menyebabkan kita alpa akan nikmat keamanan yang kita perolehi. Sedarkah kita akan keperitan saudara kita di Palestin saat menantikan hari esok? Setiap hari mereka dihadiahkan dengan butiran peluru namun mereka tidak pernah merungut lemah malahan keperitan inilah yang menjadikan mereka lebih tabah dan matang.

Gugurnya mujahid-mujahid Islam tidak bermakna mereka kalah. Gugurnya mereka tanda syahid di jalan Allah. Pemergian mereka bukanlah sia-sia. Semangat juang mereka tetap terus mengalir di dalam diri anak-anak kecil mereka yang sudah terdidik untuk memperjuangkan agama Allah yang agung. Betapa murninya hati anak-anak ini berbekalkan seketul batu di jalanan menentang ratusan kereta kebal di hadapan dengan harapan mampu manggapai sebuah kemenangan. Mereka yakin akan janji Allah bahawa Islam pasti akan menang. Janji inilah yang mereka bawa hari ini untuk mara berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

http://iskandariah.perubatan.org/v1/2011/05/jika-kita-adalah-mereka/


No comments:

Post a Comment